SELANGOR FC
BERITA

SFC & AEON BiG Meneruskan Kerjasama Dengan Pelancaran RGTC 2024/25

Mar 10, 2024 - FAS

Hari ini, Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) mengumumkan AEON BiG meneruskan kontrak sebagai rakan rasmi Gergasi Merah untuk saingan Liga Malaysia musim 2024/2025 selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian perkongsian pagi tadi.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di AEON BiG Wangsa Maju dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon,  Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed serta penampilan istimewa ketua jurulatih (interim), Nidzam Jamil, pemain-pemain Gergasi Merah, Samuel Somerville, Khuzaimi Piee, Haiqal Lau, Danial Asri dan pemain import terbaharu, Umarbek Eshmurodov. 

Dalam kerjasama ini, AEON BiG akan terus menyediakan barangan keperluan untuk kegunaan kesemua pasukan Selangor FC dari skuad utama sehingga skuad bawah 17 tahun termasuklah skuad Wanita, Futsal dan Yoodo Red Giants. Selain itu, berkolaborasi bersama Red Giants Team Card (RGTC) juga diteruskan bagi memberikan promosi khas pada hari yang terpilih kepada pemegang kad RGTC. Terbaru, AEON BiG akan menjadi rakan pasaraya pertama menjual Official Merchandise SFC di hampir setiap cawangan bermula tahun ini. 

Menurut Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, "AEON BiG amat berbesar hati untuk meneruskan pertalian sebagai sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah dengan harapan dapat mengukuhkan sukan bola sepak negara untuk tahun 2024/2025. Ini merupakan inisiatif AEON BiG bagi mendekatkan diri dengan komuniti dan khususnya penyokong Merah Kuning. Berdasarkan tahun lalu, kami juga yakin mereka akan terus berikan perkhidmatan dan menjaga jalinan ini dengan baik bersama AEON BiG,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon turut berbesar hati dengan penerusan kerjasama ini dan berharap akan berikan impak positif kepada kedua-dua pihak.

"Kami di Selangor FC amat mengalu-alukan penerusan kerjasama AEON BiG sebagai sebahagian daripada ahli keluarga Red Giants. Kami gembira dapat membuktikan industri bola sepak tempatan dan kejayaan skuad utama Selangor FC musim lalu dipercayai oleh syarikat terkemuka seperti AEON BiG yang mempunyai minat yang tinggi dalam sukan terutamanya bola sepak," tambahnya.

Perkongsian ini akan menyaksikan penjenamaan AEON BiG dipaparkan di stadium pada hari perlawanan serta aset digital Selangor FC untuk musim ini.

Kami di Selangor FC sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada AEON BiG kerana meneruskan kerjasama untuk dua tahun berturut-turut. Kami berharap dengan kerjasama ini akan  membuka lebih banyak mata daripada syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjadi rakan rasmi Red Giants.

Demi Kebanggaan!